Senin, 29 Desember 2008

Tiba pertolongan Allah, 'musuh' politik akhirnya bersama PAS

Roslan Shahir
Sat | Dec 27, 08 | 8:55:00 am MYT

Dewan tempat majlis pengisytiharan pada pagi itu dihiasi dengan kalimah: "Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan", iaitu petikan dari Surah An Nasr (ayat 1). Ternyata itulah tema yang paling sesuai bagi majlis berkenaan.

Assyahid Syed Qutb di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini menghuraikan bahawa pertolongan dan kemenangan itu datang dari Allah pada masa yang ditentukan Nya dan dalam bentuk yang dikehendaki Nya.

Kerana itu tidaklah keterlaluan seorang yang telah pernah menjadi musuh politik satu ketika dahulu, yang keras dan agresif, yang tidak pernah terbayang akan memberi simpati tetapi hari ini membuat keputusan untuk duduk bersama dalam satu jemaah dianggap sebagai suatu pertolongan dari Allah swt.

Demikianlah yang berlaku pada PAS baru-baru ini apabila bekas Ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) Kapten (B) Dato' Hj Zahar Hashim yang telah berjuang lebih 20 tahun di dalam Umno, bekas ADUN dua penggal, memutuskan untuk menyertai Parti Islam berkenaan.

Dato' Hj. Zahar bukan setakat membawa dirinya seorang menyertai PAS tetapi pada hari berkenaan sahaja lebih 28 AJK Bahagian dan ketua-ketua cawangannya turut berbuat demikian. Dan angka ini kata beliau akan terus meningkat sehingga Umno di bahagian berkenaan terus lumpuh.

Penyerahan borang keahlian bekas tokoh Umno berkenaan telah diterima oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dengan disaksikan oleh Dato' Dr Hasan Mohd Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor dengan kehadiran pimpinan kanan PAS Negeri.

Apa yang menarik dalam majlis berkenaan adalah kenyataan Dato' Zahar bahawa beliau mengambil keputusan menyertai PAS bukan kerana PAS adalah parti alternatif buat Umno, tetapi bagi beliau setelah dikaji seluruh aspek dan perkembangan politik negara, ternyata dan diyakini PAS kini adalah parti yang terbaik buat orang-orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya.

Malah beliau berjanji akan menjaja isu ini sepanjang tempuh berkempen dalam pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu nanti dan akan meyakinkan lebih ramai lagi ahli-ahli Umno khasnya di Selangor untuk mengambil keputusan sebagaimana yang dilakukan beliau itu.

Perkembangan ini adalah sejarah buat PAS, kerana bukan sesuatu perkara yang mudah untuk mendapatkan seorang bekas Ketua bahagian yang berpengaruh seperti beliau untuk menyertai PAS.

Malahan menurut rekod inilah kali pertama di Selangor seorang Ketua Bahagian Umno menyertai PAS. Mungkinkah ini satu permulaan baru bagi PAS? Mungkinkah setelah lebih sembilan bulan PRU ke-12 berlalu, kini rakyat khasnya orang-orang Melayu dan Islam sudah mula sedar, dan tergerak hati mereka untuk berlapang dada dan menerima perjuangan PAS yang selama ini merek perkecil dan pinggirkan?

Kesedaran ini jika benar terpancar dihati sanubari mereka, insyallah PAS memiliki masa depan yang cerah di persada politik tanahair. Kekuatan PAS itu sekaligus akan memperteguhkan kekuatan Pakatan Rakyat untuk melonjak lebih tinggi lagi dalam mengmabil alih kuasa dalam negara.

Benarlah bahawa ini adalah pertolongan Allah dan satu kemenangan buat Islam yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh para pejuangnya yang ikhlas dan istiqamah. Semoga gelombang yang dicetuskan ini akan membuahkan hasil yang baik bagi Islam di Kuala Terengganu dan nanti ke seluruh negara dengan izin Nya. Sebagaimana dinukilkan dalam kitab tafsir di atas:

"Demikianlah terangkatnya manusia dengan keimanan mereka kepada Allah. Demikianlah jiwa mereka memancar dengan gemilang, melembut halus dan terbang bebas. Demikianlah mereka berjaya sampai kepada darjat kebesaran, kekuatan dan kebebasan."- azm

(Penulis adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS) _

Tidak ada komentar: